Select Industry Category
Associations
Banking & Finance
Construction & Property
Consultants & Professionals
Consumer Products
Consumer Services
Hotels & Hospitality
Industrial
News & Media
Plantation & Mining
Technology
Transportation
Search for Company :
Advanced Search
News : Cegah Ketirisan Projek Agenda Gabem Bantu Usahawan Melayu
Mencegah ketirisan projek akan menjadi agenda utama usaha Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) untuk membantu usahawan Melayu mencapai kejayaan. Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata usahawan yang bernaung di bawah Gabem perlu tampil ke depan dengan mendedahkan setiap kes ketirisan yang berlaku. Beliau berkata, fenomena seperti menjual kembali peluang atau projek yang diterima kontraktor Melayu kepada pembeli bangsa lain perlu dihalang jika seseorang usahawan Melayu itu ingin berjaya dalam perniagaan mereka. “Kita akan membendung, mencegah dan mengurangkan pengaliran keluar wang daripada ekonomi orang Melayu melalui peluang yang diperoleh daripada usahawan dan syarikat Melayu dari kerajaan dan agensinya sama ada pada peringkat nasional dan daerah. “Peluang yang dimaksudkan ialah seperti kontrak, permit, lesen, tanah pembekalan, ruang niaga, ekuiti, penswastaan khidmat atau syarikat kerajaan,” katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar sempena ulang tahun pertama penubuhan Gabem hari ini. Gagasan itu ditubuhkan bagi membantu kerajaan mengukuhkan kemahiran keusahawanan di kalangan masyarakat Bumiputera, termasuk mewujudkan benteng kukuh menghadapi cabaran globalisasi serta melonjakkan ekonomi orang Melayu. Rahim berkata, usaha memperbaiki pencapaian usahawan Melayu akan dipergiatkan lagi menerusi Akademi Kecemerlangan Perniagaan (GABEX) yang diamanahkan untuk menyemai semangat patriotisme ekonomi Melayu. “Kita harapkan dengan kursus dan latihan ini, usahawan Melayu akan memiliki semangat keusahawanan yang tinggi, mementingkan perpaduan dan permuafakatan erat di kalangan masyarakat ekonomi Melayu,” katanya. Gabem dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Jun tahun lalu dan berfungsi sebagai badan pendorong serta penasihat ekonomi kepada golongan usahawan Melayu. Pada Ogos ini, Perdana Menteri sekali lagi akan melancarkan penubuhan 13 Majlis Gabem peringkat negeri, kecuali Pulau Pinang dan Selangor yang masing-masing sudah dilancarkan 2 Disember dan 14 April lalu. Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, penubuhan gabungan persatuan ekonomi Melayu seluruh negara akan memudahkan usahawan Melayu menghubungi dan mendapatkan khidmat bantuan nasihat perniagaan serta mengikuti program yang dijalankan Gabem.
Source :